Baru-baru ini saya melawat seorang klien AADK yang mengidap dual diagnosis bersama AADK Daerah Kota Setar dan Unit Psikiatri Ketagihan Hospital Sultanah Bahiyah.
Dual Diagnosis merujuk keadaan di mana seseorang individu mengalami masalah kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah pada masa yang sama.
Klien ini berumur 42 tahun dan merupakan bekas pegawai imigresen. Dia telah dibuang kerja selepas ditangkap Polis kerana terlibat penyalahgunaan dadah. Dia juga pengidap skizofrenia. Ketika di penjara, dia mengalami simptom psikosis yang teruk menyebabkan pihak Jabatan Penjara perlu merujuknya untuk dirawat di Wad Psikiatri, Hospital Sultanah Bahiyah.
Ketika lawatan ini, walaupun penyakit mentalnya telah stabil, saya dapati dia juga mempunyai simptom-simptom OSA (Obstructive Sleep Apnea) dan lemah jantung. Saya meminta dia dirujuk ke klinik obesiti dan klinik ENT untuk tujuan menjalani sleep study dan rawatan selanjutnya.
Kini dia tinggal bersama ibunya dan bergantung hidup dengan ahli keluarga. Dadah telah memburukkan lagi kesihatan mentalnya, memusnahkan kerjayanya sebagai penjawat awam dan masa hadapan seorang individu yang berperanan besar dalam masyarakat.

Comments
Post a Comment