Kuala Lumpur: Tindakan menyedut wap rokok elektronik (vape) yang dicemari dadah sintetik jenis furanyl fentanyl atau dadah 'zombi' berisiko menyebabkan sel otak mangsa mati dalam tempoh tiga hingga lima minit.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, komplikasi itu berlaku berikutan kegagalan fungsi sistem pernafasan secara drastik akibat penekanan kuat pada reseptor otak.
Beliau berkata, wap dadah terbabit meresap jauh lebih pantas ke dalam saluran darah melalui kapilari paru-paru berbanding pengambilan opiat secara oral.
"Apabila wap toksik ini disedut, otot dada menjadi kaku secara tiba-tiba dan menyebabkannya gagal berkembang untuk menerima bekalan oksigen.
"Keadaan ini meletakkan mangsa dalam fasa kritikal yang mana sel otak akan mula mati jika oksigen gagal disalurkan dalam tempoh tiga hingga lima minit berkenaan," katanya kepada Harian Metro.
Mengulas cabaran mengendalikan kes di Zon Merah Jabatan Kecemasan, beliau mendedahkan pakar perubatan berdepan kesukaran untuk mengesahkan punca keracunan wap vape berisi dadah secara serta-merta.
Menurutnya, imbasan sinar-X paru-paru pesakit yang rebah selalunya hanya kelihatan menyerupai jangkitan kuman biasa, manakala kelengkapan ujian saringan pantas untuk dadah vape seperti ujian urin masih belum tersedia di pasaran.
Justeru pasukan perubatan amat bergantung kepada maklumat sejarah pengambilan pesakit yang dikongsikan oleh ahli keluarga atau rakan bagi mempercepatkan proses intervensi menyelamatkan nyawa.
Dalam pada itu, Dr Zaki Zamani memberi amaran pendedahan berpanjangan turut merosakkan struktur otak remaja yang belum matang, terutama pada bahagian korteks prefrontal.
Kerosakan struktur terbabit mengundang komplikasi kesihatan mental yang serius termasuk kecelaruan emosi, halusinasi, serta mencetuskan kecenderungan pesakit bertindak agresif.
Menyentuh ancaman pasaran terbuka, beliau menyelar taktik licik sindiket yang memanipulasi label pembungkusan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Sistem pelabelan ini sangat mudah dimanipulasi, sebagai contoh pengeluar melabelkannya sebagai 'magic mushroom', namun kandungan sebenarnya mungkin fentanyl atau dadah sintetik lain yang tidak dapat disahkan tanpa ujian makmal," katanya.
Disiarkan pada: Mei 9, 2026 @ 10:10am

Comments
Post a Comment