Baru-baru ini saya telah mempengerusikan satu persidangan kes melibatkan tiga beradik kanak-kanak yang keciciran sekolah. Ibu mereka yang berumur awal 40an merupakan mangsa keganasan rumah tangga. Bapa mereka baru keluar penjara dan tinggal berasingan. Mereka tinggal bersama ibu mereka di sebuah rumah pangsa di Alor Setar.
Persidangan ini adalah susulan lawatan saya berkaitan kes ini di Hospital Sultanah Bahiyah dua bulan lalu dan saya pernah menulis di dalam blog ini.
Sesi persidangan ini turut dihadiri oleh Ketua Unit Pembangunan Kanak-kanak, Pegawai Psikologi & Kaunseling dan Pelindung-pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Kota Setar serta Setiausaha Pasukan Pelindungan Kanak-kanak. Pihak keluarga pula diwakili ibu, nenek dan bapa saudara mereka. Bapa mereka gagal menghadirkan diri untuk mengambil tanggungjawab bagi membincangkan urusan penting demi kebajikan pembelajaran mereka.
Tiga beradik ini, anak yang sulung adalah kanak-kanak lelaki berumur 16 tahun sudah tidak bersekolah sejak Tingkatan 1 dan sudah bekerja di sebuah kedai makan dan kini tinggal bersama rakan. Anak kedua, kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang berhenti sekolah ketika darjah enam, dan yang paling menyedihkan sehingga hari ini masih lagi tidak mempunyai sijil kelahiran. Anak ketiga adalah kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang tidak pernah langsung menjejak kaki ke sekolah.
Ahli keluarga yang hadir memaklumkan mereka telah habis ikhtiar untuk menyekolahkan ketiga-tiga beradik ini kerana tidak mendapat kerjasama si ibu. Ibu tersebut juga enggan untuk tinggal bersama ibunya (nenek kanak-kanak) di rumah yang lebih sempurna untuk sokongan sosial dan kewangan yang lebih baik kerana dia tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan JKM. Hasil perbincangan juga menunjukkan ibu kandung mereka gagal menyakinkan pihak kami bahawa semua kanak-kanak ini akan kembali ke sekolah pada sesi persekolahan akan datang. Kegagalan ibu bapa menyediakan pendidikan untuk anak-anak adalah merupakan satu kesalahan pengabaian berdasarkan Seksyen 31(1)a Akta Kanak-kanak 2001.
Mesyuarat tiada pilihan dengan memutuskan supaya semua kanak-kanak ini diselamatkan oleh Pelindung Kanak-kanak dan dimasukkan ke institusi JKM bagi membolehkan mereka mendapat hak pendidikan. Semua ini dilakukan demi masa hadapan mereka dan mencegah mereka daripada terlibat dengan gejala sosial dan jenayah. Saya juga memaklumkan bahawa keputusan ini akan berubah sekiranya ibu kandung membuat keputusan sanggup untuk tinggal bersama nenek kandung. Inilah antara peranan yang dimainkan oleh kami sebagai Pasukan Pelindungan Kanak-kanak.


Comments
Post a Comment