KEJAYAAN PROGRAM 'KEDAH DIABETES AWARENESS'

Majlis Apresiasi Program Kedah Diabetes Awareness (KDA) telah diadakan di Hotel Seri Malaysia pada 16 Julai 2020 bagi meraikan sukarelawan yang terlibat menjayakan program ini. Program KDA adalah inisiatif bersama Diabetes Malaysia (DM)Negeri Kedah dan Kedah Lions Club dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Putra Medical Centre, yang menganjurkan program saringan diabetes di 11 daerah seluruh Negeri Kedah. Program ini menerima geran peruntukan USD 10 ribu daripada Lions Club International Foundation (LCIF) dan merupakan program pertama yang dipilih oleh LCIF untuk dilaksanakan di Malaysia dan Asia Tenggara.


Usaha penganjuran program ini bermula sejak Oktober 2018 dengan penubuhan jawatankuasa bersama antara DM Kedah dan Kedah Lions Club yang mana saya terlibat secara langsung bersama Pengerusi DM Kedah, Dr Zainal Che Mee. KDA telah berjaya dilaksanakan dari bulan Ogos 2019 sehingga Mac 2020 yang melibatkan 33 program dan telah dihadiri oleh 7794 peserta. Setiap program meliputi pengisian ceramah gaya hidup sihat, saringan diabetes, senamrobik dan pameran kesihatan.

Seramai 4902 peserta telah berjaya disaring dan 8.6% daripadanya iaitu 421 orang telah dikesan mengidap diabetes. Kesemua mereka telah dirujuk ke pusat kesihatan yang berhampiran untuk rawatan lanjut. Namun begitu 22% iaitu 93 orang tidak hadir untuk rawatan susulan atas beberapa alasan seperti hilang surat rujukan, tiada masa, terlupa temujanji, masalah pengangkutan dan berasa masih sihat. Ternyata masalah sikap masyarakat adalah penghalang utama petugas-petugas kesihatan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Sebagai Timbalan Pengerusi DM Kedah, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan KDA ini. Semoga matlamat untuk mempromosikan dan mendidik masyarakat dengan gaya hidup sihat serta mencegah lebih awal komplikasi diabetes telah tercapai dengan penganjuran program ini.

                                      







Berikut adalah semua hantaran saya yang berkaitan Program KDA ini :










Gambar pada 28 Februari 2019 ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Diabetes Malaysia Negeri Kedah dan Kedah Lions Club untuk kerjasama Program Kedah Diabetes Awareness 

Comments